TERIMA KASIH WAHAI ALLAH.


Wahai Allah,
Bila mana aku mohon syurga,
Pasti Engkau kirimkan ujian buatku.

Wahai Allah,
Bila mana aku mohon taqwa,
Engkau kirimkan musibah buatku.

Wahai Allah,
Tatkala aku mohon taqdir yang terbaik untukku,
Engkau kirimkan padaku ujian,

Wahai Allah,
Setiap kali aku mohon Engkau berikan kebaikan untukku dan menjauhkan keburukan,
Engkau berikan ujian yang berat untuk aku tempuhi.

Wahai Allah,
Hidup ini keseluruhnya sememangnya tidak aku ketahui,
Sungguh, Engkau lah Tuhan Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.

Terima kasih wahai Allah,
Walau semua ini terasa berat, sukar, pedih untukku,
Itu semua kerana kotornya hatiku yang sering melupakanMu,
Aku sedar bahawa Engkau lebih sayangkan diriku,
Engkau inginkan yang terbaik untukku,
Engkau ingin kirimkan kebaikan buatku di dunia & di akhirat.

Terima kasih wahai Allah,
Dengan rahmat dan kasih sayangMu,
Dari ujianMu ini kini,

Aku belajar redha,
Aku belajar ikhlas,
Aku belajar sabar,
Dan dengan ujian itu aku belajar bahawa Allah lah yang berhak terhadap diriku,
Dan segala yang berlaku adalah dalam kekuasaanMu,
Segalanya adalah milikMu termasuk diri, hati & jiwaku ini.

Ya Allah, kini aku sedar,
Bahawa hidayah itu milikMu untuk hamba yang benar-benar Engkau pilih,
Moga aku termasuk salah seorang dari hambaMu yang Engkau izinkan hidayah buatku.

Berdamailah wahai hati,
Semua taqdirNya ini adalah yang terbaik untukmu,
Allah tidak ingin membiarkan engkau sendirian,
Tetapi, Allah ingin memberitahumu bahawa Allah itu dekat,
Sentiasa ada disampingmu saat suka dan duka mu.

Berdamailah wahai hati,
Engkau akan dapati Allah amat menyayangimu,
Tetaplah bersangka baik padaNya,
Ikhlaskan setiap pemberian yang engkau berikan keranaNya,
Redhailah setiap waktu-waktu yang berlalu semata-mata kerana inginkan redhaNya.

Moga Allah terus pelihara iman yang aku miliki,
Moga Allah terus melimpahkan keberkatan rahmatNya,
Moga Allah terus membantuku untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya,
Moga Allah rezekikanku untuk menjadi tetamunya,
Moga Allah sudi untuk mengampuni dosa-dosaku,
Moga Allah sudi untuk mengurniakan redha dan sabar untukku.

"Sungguh, Allah mencintai hambaNya yang redha dengan taqdir yang Allah berikan untuknya."

Tidak ada apa yang perlu dirisaukan, jika Allah yang taqdirkan sesuatu untukmu, jika Allah yang menguruskan sesuatu untukmu, walaupun ianya baik mahupun buruk.

Mungkin yang buruk itu pada sangkaan manusia, tetapi bukan bagi Allah. Kerana Allah tidak akan menzalimi diri kita, tetapi kitalah yang menzalimi diri sendiri. Mohonlah taubat dan keampunan dariNya dan mohonlah agar Allah sentiasa membantu kita untuk memperbaiki diri.

Berimanlah dengan qada' dan qadr Allah sama ada taqdir yang baik mahupun buruk. Kerana Allah lebih mengetahui sedang kita tidak mengetahui.

Terima kasih wahai Allah.
Sungguh, aku serahkan diri, jiwa dan hatiku ini hanya untukMu.





Comments

Popular posts from this blog

Sehidup sesyurga

Belahan Jiwa